Pages

Wednesday, February 17, 2021

Ikan siakap masak cencuan tanpa taucu

 



Ikan siakap masak Cencuan tanpa taucu. Resepi mudah dan boleh dimasak menggunakan pelbagai jenis ikan seperti ikan kembung, ikan sardin dan ikan bawal hitam. Jika suka taucu atau kacang masin, boleh ditambah kepada masakan ini. Jika tidak suka, ikan masak cencuan in sudah cukup sedap. Moh kite masak masakan cina Ikan Masak Cencuan ini. Bahan-bahan Ikan Siakap Masak Cencuan 1 ekor ikan siakap 3 ulas bawang putih 2 biji bawang besar 3 biji bawang merah 1 biji cili merah Sedikit serbuk kunyit Sedikit garam 4 cawan/ 800ml air Sedikit air asam jawa. Minyak untuk menggoreng




Cara- cara memasak Ikan Cencuan

Bersihkan ikan dan potong.

Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Biarkan sektika.

Hiris nipis bawang merah dan bawang putih.

Potong bulat bawang besar.

Potong cili merah secara nipis memanjang.

Goreng ikan siakap sehingga garing. Angkat dan toskan.

Keluarkan minyak masak daripada kuali. Tinggalkan sedikit sahaja.

Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga layu.

Masukkan cili merah.

Masukkan air bawang besar.

Masukkan air asam jawa.

Masak sehingga bawang layu, masukkan air.

Biarkan mendidih dan masukkan ikan.

Masukkan garam secukup rasa.

Tutup api dan hidangkan.


Nota:

1.) Lebih sedap kalau ada cili hijau.

2. Boleh ditambah taucu jika suka taucu.

3. Guna asam keping/ gelugor ganti asam jawa pun sedap juga.


Tuesday, February 16, 2021

Ayam goreng kunyit sedap

 



Ayam goreng kunyit adalah satu masakan popular dan mudah. Walaupun mudah ianya tetap sedap dan boleh dinikmati pelbagai golongan termasuklah kanak-kanak kecil. Ayam goreng kunyit sesuai untuk bila bila masa. Sesuai untuk sarapan dengan nasi kerabu, sesuai untuk makan tenghari (lunch) dan juga sesuai untuk makan malam (dinner). Resepi ayam goreng kunyit ini menggunakan isi ayam. Kebanyakan orang tidak berapa suka bahagian isi ayam tetapi kalau potong kecil kecil dan masak seperti ini, pasti ramai yang suka. 

Moh kite masak ayam goreng kunyit!

Bahan-bahan

300g isi ayam (chicken)
Serbuk kunyit (tumeric powder)
Garam secukup rasa (salt)
1 biji bawang holland (onion)
1 biji lobak merah (carrot)
5 batang kacang panjang (long beans) - tiada di dalam gambar
Minyak masak (cooking oil)

Cara-cara

Potong isi ayam kecil-kecil.

Gaul bersama garam dan serbuk kunyit. Serbuk kunyit dilebihkan sedikit agar nampak berserbuk pada ayam. Perap seketika kira-kira 10-30 minit.

Bersihkan lobak merah dan kacang panjang.

Potong lobak merah memanjang. Potong juga kacang panjang agak agak 1-2 inci.

Hiris bawang holland nipis-nipis.

Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ayam sehingga garing atau bertukar warna menjadi kuning keperangan. Angkat dan toskan.

Masukkan kacang panjang, lobak merah dan bawang holland ke dalam minyak gorengan ayam tadi.

Goreng sehingga lobak merah dan kacang panjang lembut. Angkat dan toskan.

Letak ayam dan hasil gorengan lain ke dalam piring dan hidangkan.


Nota:

1. Boleh juga dimakan/ dihias dengan salad dan cili merah.
2. resepi ini boleh juga digunakan untuk daging goreng kunyit.

Sunday, February 14, 2021

Udang Kam Heong Chinese Style





Resepi dan cara memasak udang kam heong (kam heong prawn). Ia adalah resepi masakan kaum Cina yang sedap walaupun dimasak dengan pelbagai makanan laut yang lain seperti lala, sotong, ikan dan lain lain. Masakan chinese style kam heong ini mudah dan memerlukan bahan bahan yang biasanya mudah didapati di rumah.
Moh kite masak Kam Heong Prawn!
Bahan-bahan Kam Heong 300g udang 2 sudu serbuk kari 1 sudu serbuk cili 2 sudu sos tomato 2 sudu sos cili 2 sudu sos tiram 2 sudu cili giling 2 tangkai daun kari 2 inci halia 1 biji bawang besar 5 ulas bawang putih 1 biji cili merah 7 helai daun kucai (tiada di dalam video) Sedikit minyak masak Sedikit air (jika perlu)
 


Cara-cara memasak Kam Heong Prawn

Bersihkan udang.

Cincang halia, bawang besar, bawang putih dan cili merah. Boleh disatukan dalam satu bekas.

Panaskan minyak di dalam kuali. 

Tumis semua bahan yang telah dicincang sehingga layu.

Masukkan cili giling dan tumis sehingga naik/ pecah minyak.

Masukkan daun kari.

Masukkan kesemua sos... sos cili, sos tiram dan sos tomato.

Masukkan serbuk kari dan serbuk cili. Kalau nak lagi sedap, campur pelbagai serbuk kari yang ada.

Masukkan udang dan kacau rata.

Jika terlalu kering dan udang lambat masak (semua jadi warna kemerahan),  tuang sedikit air.

Masukkan daun kucai yang telah di potong-potong lebih kurang 2 inci.

Masak sehingga kuah pekat dan tutup api.

Hidangkan.


Nota: 

1. boleh juga dicuba dengan ayam dan daging.

2. kredit to Zarinah Paiman untuk resepi ini.