Pages

Thursday, June 24, 2021

Aiskrim yogurt strawberry ala ala la cremeria

 



Aiskrim memang sedap. Kena pulak tengah musim panas. Tekak mencari benda yang sejuk. Salah satunya aiskrimlah. Terdapat pelbagai jenama dan perisa aiskrim. Ada yang mahal atau harga kayangan dan ada yang murah atau harga marhaen. Antara jenama aiskrim yang popular adalah Nestle, Walls, Magnolia, Kings, Baskin-Robbins, McDonalds dan Tutti Fruiti. Antara aiskrim yang tidak ada jenama tetapi sangat popular adalah aiskrim Malaysia.

Perisa pulak ada pelbagai. Antaranya coklat, vanilla, jagung, durian, keladi, mint, blueberry, strawberry dan macam macam lagilah. Malah ada yang combine biskut dengan ais krim macam Oreo. Tealive pun ada ais krim boba.

Asyik membeli sahaja, ada baik cuba buat sendiri juga. Ilmu dipelajari dan dipraktikkan. Moh kite buat aiskrim strawberry dengan yogurt ala ala Nestle La Cremeria tu. 

Bahan-bahan

1 tin krimer sejat (susu cair)

1/3 tin krimer manis (susu pekat)

1 sudu teh perisa vanila

3 sudu yogurt asli

1 sudu adunan aiskrim/ krimwell (tak wajib)

1 sudu ovalett

1 sudu pes strawberi

3 sudu strawberry fruit topping



Cara-cara

Masukkan krimer sejat, krimer manis, perisa vanila, adunan aiskrim, ovalett dan pes strawberry ke dalam Food processor. Jika tiada food processor, guna mixer atau pengisar (blender) pun boleh. 

Pukul sehingga kembang dan halus. Sekiranya menggunakan food processor, kira-kira 10 minit.

Masukkan yougurt dan kacau rata. Sekiranya mahu lebih masam, tambah lagi sukatan yogurt.

Masukkan strawberry topping. Masukkan setiap sudu di bahagian berbeza.

Tuangkan ke dalam bekas yang ada penutup.

Simpan di dalam peti sejuk bahagian beku (freezer) selama 12 jam atau semalaman.

Boleh dinikmati begitu sahaja atau dengan kon aiskrim atau dengan roti atau dengan apa sahaja.

Selamat mencuba!


Monday, June 21, 2021

Jantung pisang masak lemak

 


Pokok pisang adalah salah satu pokok yang mempunyai banyak kegunaan. Umbutnya boleh dibuat kerabu, bahagian tengah batangnya boleh dibuta gulai, batangnya juga digunakan oleh mudim-mudim kampung untuk alas bersunat, daunnya boleh dibuat bungkusan nasi lemak, lepat, kuih koci dan sebagainya, buahnya jika muda boleh dibuat gulai dan kerepek, setelah masak boleh dimakan begitu saja atau dibuat lepat dan cekodok. Jantungnya pula boleh direbus sebagai ulaman, dibuat kerabu atau digulaikan. Boleh sahaja buat kari, pajeri atau masak lemak.

Masak lemak jantung pisang ni memang sedap. Sudah pasti jantung pisang ada rasa uniknya yang tersendiri yang membuat masakan menjadi hidangan yang menyelerakan. Kena pula dengan nasi panas, lauk lain tak ada pun tak apa. Masak lemak jantung pisang ni mudah sahaja. Cuma ia bergetah macam pisang dan batang pisang juga. Kalau baru ambil memang getahnya banyak. Moh kite masak jantung pisang masak lemak.

Bahan-bahan

2 biji jantung pisang
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
1 liter santan (4 cawan)
1 liter air (4 cawan)
Sedikit asam keping (tak perlu sekeping pun)
Sedikit Cili api (jika mahu)

Cara-cara

Potong jantung pisang dan buang bahagian kelopak berwarna ungu. Yang berwarna ungu agak liat dan keras.

Belah empat dan buang empulurnya. Kemudian, hiris atau potong nipis-nipis.

Masukkan ke dalam periuk bersama, serbuk kunyit, santan, air, garam dan asm keping. Juga masukkan cili api yang telah ditumbuk jika mahu.

Buka api dan masak. Kacau selalu agar santan tidak pecah lemak.

Masak sehingga jantung pisang lembut sebelum menutup api.

Hidangkanlah dan nikmatilah bersama si jantung hati,


Sunday, June 20, 2021

Asam pedas ayam


Asam pedas memang salah satu makanan yang sangat popular di Malaysia. Negeri yang paling terkenal dengan asam pedas adalah Melaka. Melaka terkenal dengan asam pedasnya yang berkuah merah, pedas dan pekat. 

Banyak variasi asam pedas ini. Ada yang pekat dan ada juga yang cair. Ada seorang sahabat memang tidak suka asam pedas sebab katanya kuahnya macam air basuh pinggan. Mungkin yang dimaksudkannya adalah kuah yang terlalu cair.

Asam pedas biasanya dimasak menggunakan ikan. Ikan kembung atau mabung, ikan sardin atau selayang, ikan tenggiri, ikan pari, ikan parang dan sebagainya. Namun ramai yang mingkin tidak tahu, ianya sedap juga kalau dimasak bersama ayam. Resepi ini adalah resepi asam pedas ayam. Moh kite cuba!

Bahan-bahan

1kg ayam (bahagian bertulang)

Serbuk kunyit dan garam (untuk lumur ayam)

5 ulas bawang putih

5 biji bawang merah

1 kuntum bunga kantan

Sedikit daun kesum

Garam secukup rasa

1 cawan air

5 sudu cili kisar (cili boh)



Cara-cara

Hiris bawang merah dan bawang putih nipis-nipis.

Belah 6 bunga kantan.

Bersihkan ayam. Lumur dengan serbuk kunyit dan garam. Perap atau biar seketika. Goreng sehingga hampir garing.

Ambil sedikit minyak gorengan ayam. Panaskan di dalam kuali.

Tumis bawang mwrah dan bawang putih sehingga agak layu.

Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah atau naik minyak.

Masukkan serai, bunga kantan dan daun kesom. Kacau sebati.

Tuang 1 cawan air dan tunggu sehingga mendidih.

Masukkan ayam yang telah digoreng dan kacau rata.

Masukkan garam secukup rasa dan kacau sehingga rata dan sebati.

Tutup api dan hidangkan.


Saturday, June 19, 2021

Sambal sotong pedas

 


Sotong adalah salah satu makanan laut yang sedap. Cara menangkap sotong yang mudah mungkin adalah dengan menggunakan pukat tetapi pada musim sotong banyak, kebiasaannya akan ada aktiviti mencandat sotong. Aktiviti mencandat sotong ini amat menarik tetapi bergantung pada masa dan tempat. Kena lubuknya dapatlah banyak hasilnya.

Antara masakan sotong yang popular adalah sotong goreng kunyit, sambal sotong, sotong goreng tepung, kerabu sotong, sotong bakar dan ketupat sotong. Ketupat sotong adalah salah satu makanan popular di Kelantan dan Terengganu. Cuma maskannya agak berbeza dengan kuah merah dan putih.

Bahan- bahan

1/2 kg sotong saiz kecil (cumi-cumi)

1 biji bawang besar

5 biji bawang merah

5 ulas bawang putih

5 sudu cili kering kisar

1 biji cili merah

1/2 sudu teh pes asam jawa

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak

Cara- cara

Bersihkan sotong.

Hiris bawang putih dan merah nipis-nipis.

Hiris bulat bawang besar.

Hiris nipis cili merah.

Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih serta bawang merah.

Setelah layu masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak.

Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.

Masukkan sotong dan masak sehingga sotong keluarkan air dan kuah menjadi pekat.

Masukkan bawang besar dan kacau sehingga sedikit layu.

Masukkan cili merah dan garam secukup rasa.

Kacau sebati dan tutup api.


Friday, June 18, 2021

Hati lembu masak rempah

 


Makan hati berulam jantung. Itu adalah salah satu peribahasa Melayu yang menggambarkan kesedihan disebabkan sesuatu perkara. Makan hati ayam atau hati lembu secara nyata bukanlah seperti yang digambarkan oeribahasa tersebut. Malah makan hati lembu atau ayam ini adalah sesuatu yang menggembirakan. Kenyang perut senang hati!

Hati lembu  masak rempah ini adalah satu resepi yang amat mudah. Bahan-bahannya pun sedikit sahaja. Cuma masa memasaknya mungkin sedikit lama sebab kena tunggu air hati kering dan hati lembut. Bagaimanapun hasilnya memang amat memuaskan hati. Kena pula makan dengan nasi panas. Memang mengancam.

Serbuk kari boleh dicampurkan kari ayam dan kari ikan atau serbuk rempah kari berbeza jenama untuk mendapatkan kari yang lebih sedap. Ia seolah-olah melengkapkan rasa kari itu antara satu sama lain. Bak kata omputih "you complete me". 


Bahan-bahan

1kg hati lembu

1 inci halia

3 biji bawang merah

5 ulas bawang putih

1 biji bawang besar

2 sudu rempah kari

1 biji cili merah

1 biji cili hijau

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak




Cara-cara

Bersihkan hati lembu dan potong nipis-nipis.

Hiris halia nipis nipis.

Hiris bawang merah dan bawang putih.

Hiris cili merah nipis-nipis.

Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga layu dan naik bau.

Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Tumis sehingga pecah minyak.

Masukkan hirisan halia dan tumis sehingga halia kembang.

Masukkan hati lembu. Hati lembu akan mengeluarkan airnya sendiri. Masak sehingga air kering dan kembali berminyak.

Masukkan bawang besar dan masak sehingga bawang sedikit layu.

Masukkan cili merah dan cili merah dan kacau rata.

Masukkan garam secukup rasa dan kacau sehingga sebati.

Tutup api dan hidangkan.



Thursday, June 17, 2021

Pecal atau gado gado dengan kanji

 



Pecal atau juga dikenali sebagai gado-gado adalah makanan yang menggunakan pelbagai sayur-sayuran sebagai bahan utamanya. Dimakan bersama sambal kacang yang digaul bersama sememangnya satu kenikmatan. Ada juga yang menggunakan cekur dalam membuat sambal kacang untuk pecal atau gado-gado ini.

Ini adalah resepi mak saya dalam menyediakan pecal ini. Semestinya mak saya menyediakan pecal atau gado-gado ini bersama kanji. Wajib! Memang sedap dimakan sekali. Kanji ini sebenarnya adalah bubur nasi yang dimasak bersama santan serta bahan-bahan lain. Mungkin disebabkan berkanji, ia dinamakan kanji.

Bahan-bahan kanji

1.5 cawan beras (rice)
4 liter air (water)
1/2 sudu teh halba
1 kotak/ 1 cawan santan (coconut milk)
Sedikit udang geragau/ udang kering 
Garam secukup rasa

Bahan- bahan pecal/ gado-gado

3 sudu gula (sugar)
1 sudu pes asam jawa (tamarind)

1 sudu teh garam (salt)
1 biji timun (cucumber)


Bahan-bahan rebus

1 ikat pucuk ubi (tapioca shoots)
1 ikat pucuk paku (fern)
1 ikat kangkung
5 batang kacang panjang 
200g Taugeh (beansprout)

Bahan-bahan goreng

3 batang kek ikan (fish cake)
5 biji cili kering
3 biji cili kering gemuk
3 biji bawang merah (onion)
500g kacang tanah (groundnuts)




Cara-cara masak kanji

Basuh beras dan tanak dengan 4 liter air. 

Setelah mendidih, masukkan halba.

Masak sehingga beras kembang dan tuang santan.

Masukkan juga udang geragau dan garam secukup rasa.

Masak sehingga semua sebati dan tutup api.


Cara-cara masak pecal/ gado-gado

Goreng kek ikan yang telah dipotong pendek sehingga sedikit garing.

Potong pendek bahan-bahan rebus seperti kacang panjang, pucuk paku, pucuk ubi dan kangkung. Rebus semua bahan-bahan rebus sehingga lembut. Rebus secara berasingan.

Goreng kacang tanah dengan sedikit minyak masak sehingga garing. Angkat dan sejukkan. Setelah sejuk, ramas agar terasing kulitnya sebanyak mungkin. Tampi untuk asingkan kulit dan kacang. Kisar sehingga agak halus tetapi tidak terlalu halus.

Goreng cili kering dan cili kering gemuk bersama bawang merah yang telah di buang kulitnya. Goreng sehingga cili agak garing dan bawang kelihatan layu. 

Tumbuk cili kering dan bawang merah yang telah di goreng sehingga halus.

Gaul bersama kacang yang telah dikisar bersama pes asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Jika terlalu kering, tuang sedikit air panas dan gaul semula.

Bolehlah hidangkan dan gaul bersama kanji serta bahan-bahan rebusan serta kek ikan.




Wednesday, June 16, 2021

Ayam masak ketumbar

 



Ayam bermacam ayam. Ada ayam daging, ayam telur, ayam katik, ayam kampung, ayam hutan, ayam belanda dan ayam tua. Setiap jenis ayam tu ada kelebihan masing-masing. Maksud kelebihan ayam-ayam itu adalah masing ada masakan tertentu yang sedap. Contoh macam rendang. Ayam tua dan ayam kampung serta ayam hutan sedap dimasak rendang kerana isinya yang lebih pejal. Cuma ayam tua atau ayam pencen perlu dimasak agak lama sebelum isinya lembut dan boleh dikunyah.


Kali ini moh kite cuba resepi ayam masak ketumbar. Resepi ni agak istimewa kerana rasanya yang unik. Boleh saja masak guna semua jenis ayam kecuali ayam tua. Cuma mungkin masa masakan sahaja yang berbeza. Rasanya juga pasti berbeza! Moh kite masak resepi special ini!

Bahan-bahan

2 ketul ayam bahagian peha dan peha atas
sedikit serbuk kunyit (tumeric)
sedikit garam (salt)

1 inci kayu manis (cinnamon)
5 kuntum lawang (star anise)
11 biji buah pelaga (cardamom)
11 kuntum bunga cengkih (clove)
1 sudu teh daun kemangi (basil)
sedikit daun ketumbar (parsley)
1 kotak/ 1 cawan santan (coconut milk)
3 sudu cili kisar (blended chiili)
3 biji tomato
3 biji cili hijau (green chilli)
garam secukup rasa (salt)

Bahan-bahan kisar

3 batang serai (lemongrass)
7 biji bawang merah (onion)
5 ulas bawang putih (garlic)
7 biji buah keras 
1 hiris lengkuas (galanger)
1 inci halia (ginger)
1 sudu ketumbar (coriander)
1 sudu jintan manis (fennel seeds)




Cara -cara

Bersihkan ayam dan lumurkan dengan serbuk kunyit serta sedikit garam. Seeloknya perapkan seketika.

Goreng ayam sehingga separa garing ataupun garing. Cuma jangan terlalu garing sehingga keras.

Kisar semua bahan kisar tetapi tidak perlu terlalu halus. 

Belah cili hijau kepada 3 atau 4 bahagian seperti bentuk kelopak bunga.

Potong 4 tomato.

Potong daun ketumbar kecil-kecil.

Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisaran. Tumis sehingga sedikit garing.

Masukkan cili kisar dan masukkan juga rempah 4 beradik iaitu bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan kulit kayu manis.

Tumis sehingga naik minyak dan masukkan santan.

Masukkan ayam goreng dan kacau rata. Biar ia sebati seketika.

Masukkan tomato dan cili hijau. kacau rata dan biar sebati seketika.

Masukkan daun kemangi dan daun ketumbar. Kacau rata lagi.

Masukkan garam dan kacau sebati.

Tutup api dan hidangkan.






Tuesday, June 15, 2021

Sayur Pak Choy goreng Sos Tiram

 




Sayur-sayuran adalah salah satu komponen penting dalam gizi pemakanan seharian. Jadi pastikan ia menjadi salah satu hidangan dalam makanan seharian kita. Selain sumber serat yang tinggi, sayur-sayuran juga mempunyai pelbagai jenis vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh badan.

Salah satu masakan sayur yang sedap dan mudah adalah sayur pak choy. Masa pula dengan cara masakan cina atau chinese style. Memang sedap, mudah dan cepat. Sayur pak choy ini juga mudah didapati. Jadi boleh saja dibeli di pasar-pasar, kedai aceh, pasaraya dan halal mart. Moh kite beli pak choy. Guna bok choy pun boleh juga.

Resepi ini adalah masakan pak choy menggunakan sos tiram. Resepi dan bahan-bahannya tidak banyak tetapi tetap sedap. Moh kite masak!

Bahan-bahan

Sedikit sayur pak choy
5 ulas bawang putih,
1 biji cili merah
3 sudu sos tiram
1/2 cawan air
1 kiub ikan bilis
Sedikit minyak masak/ zaitun




Cara-cara

Bersihkan sayur pak choy. Jika besar potong bahagian bawah atau pangkalnya. Jika pak choy itu keci atau baby pak choy, tak perlu potong sebab ia lebih cantik.

Cincang bawang putih halus-halus.   

Hiris cili merah nipis-nipis. Kalau suka lebih pedas, boleh gunakan cili api.

Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga sedikit garing.

Masukkan sos tiram dan kacau rata.

Masukkan kiub ikan bilis dan kacau rata sehingga larut.

Masukkan pak choy yang telah dibersihkan dan kacau rata.

Tuaangkan 1/2 cawan air dan kacau sehingga pak choy layu.

Masukkan hirisan cili merah dan kacau rata.

Tutup api dan hidangkan.