Pages

Saturday, March 26, 2022

Sandwich telur


 Sandwich adalah makanan yang biasanya dimakan sebagai sarapan atau minum petang. Kebiasaanya ia adalah makanan yang mudah dan ringkas. Simple sahaja tetapi ia bukanlah makanan ringan. Terdapat pelbagai jenis sandwich. Antara yang biasa dan mudah didapati adalah sandwich telur, sandwich sardin dan sandwich tuna. Setiap satu daripada yang dinyatakan pun terdapat kepelbagaian dalam cara membuatnya dan juga bahan-bahannya. 

Biasanya sandwich dibuat menggunakan kepingan roti dan dibubuh bahan-bahan lain diantara kepingan atas dan kepingan bawah. Popularnya sandwich sehingga terwujudnya kedai makanan segera seperti subway yang menjual sandwich. 

Sandwich telur adalah salah satu sandwich yang mudah. Ianya sesuai untuk kanak-kanak sehingga dewasa kerana biasanya ia tidak pedas. Cuma kalau untuk kanak-kanak, kebiasaannya tidak ada sayur diletakkan kerana ramai kanak-kanak tidak makan sayur. Eh! Orang dewasa pun ramai juga tak makan sayur!

Moh kite buat sandwich telur!


Bahan-bahan

10 keping roti

4 biji telur

5 sudu mayonis

marjerin

1 biji tomato

5 helai daun salad

serbuk lada hitam berperisa

serbuk lada berperisa




Cara-cara

Rebus telur sehingga masak. Kupas dan letak ke dalam mangkuk. Kulit telur lebih mudah dikupas jika ia sedikit basah atau pun tangan pengupas basah.

Hiris tomato secara bulat.

Basuh daun salad bersih-bersih. Ada kes kematian akibat daun salad tidak dibasuh sempurna kerana ada racun serangga pada daun.

Hancurkan telur yang telah dikupas. Boleh gunakan penekan daging burger ataupun garpu untuk hancurkan telur.

Masukkan 5 sudu mayonis dan kacau rata.

Masukkan serbuk lada hitam dan lada berperisa dan kacau rata.

Sapukan marjerin pada satu permukaan setiap keping roti.

Sapukan bancuhan telur tadi. 

Letakkan satu hirisan tomato.

Letakkan daun salad.

Letak satu lagi keping roti yang telah disapu merjerin dengan bahagian yang disapu menghadap ke bawah.

Boleh potong segitiga dengan menggunakan pisau pemotong roti jika mahu.

Siap!

Nota:

    Boleh juga letak kepingan cheese untuk lebih sedap.

Resepi Sambal paru-paru

 


Paru-paru adalah salah satu organ dalaman yang sangat penting. Ia adalah organ untuk penyerapan oksigen. Tubuh manusia serta haiwan sangat memerlukan oksigen dan paru-paru yang memainkan peranan terbaik akan membekalkan oksigen yang optimum.

Bagaimanapun, ini bukanlah perbincangan mendalam tentang paru-paru. Kita nak masak paru-paru. Mungkin janggal pada sesetengah orang untuk membeli paru-paru. Yang biasa dibeli adalah daging dan hati lembu. Jadi mungkin akan sedikit janggal jika tidak biasa. 

Biasanya, paru-paru dimasak secara gorang garing atau bersambal. Jika bersambal mungkin menggunakan cili kering atau cili hidup sama ada cil api atau cili besar. Sambal paru-paru atau lebih dikenali sebagai sambal paru adalah antara lauk nasi lemak terbaik. Bagaimanapun, ia tetap sedap juga dengan nasi biasa atau mi goreng, bihun goreng, kuey teow goreng dan sebagainya.

Moh kite masak sambal paru-paru!


Bahan-bahan

1/2kg paru-paru lembu

3 sudu cili kering kisar (lebihkan pun tidak mengapa)

5 ulas bawang putih

10 biji bawang merah

1 biji bawang besar

1 keping asam keping (asam gelugor)

1 sudu gula

garam secukup rasa

sedikit minyak masak

air



Cara-cara

Rebus paru-paru selama 30-60 minit ataupun sehingga lembut.

Kisar bawang merah dan bawang putih.

Hiris bulat bawang besar.

Paru yang telah direbus, dihiris nipis-nipis.

Panaskan minyak dan goreng paru sehingga garing. Tahap kegaringan terserah kepada masing-masing.

Gunakan semula sedikit minyak gorengan paru-paru tadi dan tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar.

Setelah naik bau dan sedikit garing, masukkan cili kisar. Tumis sehingga masak atau pecah minyak.

Masukkan asam keping.

Masukkan bawang besar, garam dan gula. kacau sehingga sebati dan bawang agak layu.

Masukkan paru yang telah digoreng tadi. Kacau dan masak sehingga sebati.

Tutup api dan hidangkan.

Moh kite melantak!


Nota:

        Cili kering kisar boleh diganti dengan cili api atau cili hidup.


Friday, March 25, 2022

Pajeri nenas

 



Nenas atau nanas adalah salah satu buah-buahan tropika. Ia sesuai ditanam di tanah gambut. Terdapat pelbagai jenis nenas di Malaysia. Antaranya adalah MD2, Maspine, Josapine, N36. Moris dan Yankee. Nenas sedap dibuat jus dan banyak juga kaedah rawatan alternatif menggunakan nenas seperti untuk rawatan batu karang, gout dan sebagainya. Baru-baru ini tular yang empulur nenas boleh direbus untuk rawatan covid-19. Wallahua'lam. Boleh je ikhtiar. Kuasa menyembuhkan tetap milik Dia.

Nenas juga sedap jika dimasak. Antara resepi nenas yang popular adalah jelatah atau acar, gulai ikan masin nenas, nasi nenas dan pajeri nenas. Kebanyakannya adalah masakan kenduri kan? 

Moh kite masak pajeri nenas!


Bahan-bahan

1 biji nenas

2 sudu serbuk kari

1 sudu cili kering kisar

3 ulas bawang putih

3 biji bawang merah

3 sudu gula

1 sudu kerisik

5 kuntum bunga lawang

1 kulit kayu manis

1 cawan santan pekat

1 cawan air

garam secukup rasa

sedikit minyak masak




Cara-cara


Kupas kulit nenas dan potong nenas secara bulat atau separa bulat jika terlalu besar. Potong cara lain tak jadilah pajeri.

Hiris bawang putih dan bawang merah.

Bancuh serbuk kari dengan sedikit air.

Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit layu.

Masukkan bunga lawang dan kulit kayu manis.

Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili masak. Taklah sakit perut nanti.

Masukkan bancuhan serbuk kari. Tumis sehingga masak atau likat.

Masukkan santan dan kerisik. Kacau rata.

Masukkan nenas dan gula. Jika rasa nak manis lagi boleh tambah gula. Pajeri memang kena ada rasa manis-manis tetapi kawallah tahap penggunaan gula. 

Masak sehingga nenas lembut. Jika sudah agak kering tetapi nenas masih belum lembut, tambah air sedikit demi sedikit.

Bila nenas sudah lembut, masak sehingga kuah pekat dan likat.

Masukkan garam secukup rasa. Masak sehingga sebati.

Tutup api dan hidangkan.


Nota:

        Disebabkan terdapat pelbagai jenis nenas, sebaiknya tanya dahulu ketika membeli jenis nenas yang sesuai untuk dimasak, dibuat air dan sebagainya.