Pages

Tuesday, July 19, 2022

Vegetarian Spaghetti Bolognaise

 




Spaghetti adalah salah satu jenis pasta. Pasta ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Cuma bahan-bahan untuk membuat semua jenis pasta boleh dikatakan adalah sama. Pasta terdapat dalam bentuk spaghetti, angel hair, fettucini, vermicelli, macaroni, spiral dan macam-macam lagi. Walaupun bahan-bahan asasnya boleh dikatakan sama, setiap bentuk pasta itu memainkan peranan yang berbeza bagi setiap masakan. Contohnya adalah macaroni. Ia sedap dibuat macaroni and cheese. Spaghetti pula sesuai dibuat bolognaise, olio aglio dan carbonara.

Masakan kali ini adalah adalah spaghetti bolognaise ataupun boleh juga disebut bolognese. Cuma kali ini moh kite masak secara vege pula. Vege ni kena bubuh sayur-sayuran. Untuk vegetarian, biasanya akan keseluruhannya sayur atau tiada daging haiwan daripada  apa jenis sekalipun. Boleh dikatakan ini adalah salah satu diet makanan sihat.


Bahan-bahan

1 paket spaghetti

1kg sos tomato

1kg sos cili

1 tin 430g tomato puri

500g mixed vege

1 sudu teh garam

1 sudu tepung jagung

4 helai daun salam (bay leaves)

2 sudu teh serbuk lada hitam kasar

1 sudu teh herba campuran (mixed herbs)

1kg tomato



Cara-cara

Nyahbekukan mixed vege seketika dan rebus sehingga lembut. ANgkat dan toskan.

Basuh tomato bersih-bersih agar terbuang segala kotoran dan racun perosak yang melekat.

Potong tomato kecil-kecil.

Masukkan tomato yang telah dipotong ke dalam kuali. Masak sehingga keluar airnya dan tomato agak layu.

Masukkan lada hitam, daun salam dan herba campuran. Kacau rata dan biar sebati seketika.

Bancuh tepung jagung dengan sedikit air dan tuang ke dalam kuali.

Masukkan sos cili, sos tomato dan tomato puri. Masak sehingga pekat.

Masukkan garam dan kacau rata.

Masukkan mixed vege yang telah direbus dan masak sehingga sebati serta pekat sebelum menutup api.

Didihkan air di dalam periuk atau kuali. Masukkan secubit garam dan sedikit minyak zaitun (minyak masak pun boleh juga).

Masukkan spaghetti dan rebus sehingga lembut. Biasanya mengambil masa kira-kira 15 minit selepas dimasukkan ke dalam air yang telah mendidih.

Angkat dan toskan.

Bolehlah dinikmati bersama kuah bolognese vegetarian tadi.


Nota:

1) Jika tak makan sayur, boleh biar kosong tanpa mixed vege.

2) boleh juga ditukar kepada sayuran lain seperti bunga kobis, brokoli, putik jagung dan sebagainya.

3) Jika nak tambah daging atau ayam pun boleh juga.

4) Kuah spaghetii agak banyak. Jika berlebihan, bolehlah disejuk bekukan.


Wednesday, June 15, 2022

Nasi Tomato Ayam Masak Merah



Nasi tomato adalah masakan yang memang berasaskan tomato kerana nasi ini menggunakan tomato segar dan tomato puri sebagai bahan utama. Ianya adalah satu masukan kegemaran  ramai dan cara menyediakannya agak mudah.

Lauk utama nasi tomato adalah ayam masak merah walaupun ia boleh juga dimakan dengan lauk lain seperti rendang dan paprik. Sudah pastinya acar timun atau jelatah sebagai side dish menjadikan ia lebih mantap!

Resepi ini kredit kepada kakak ipar saya Kak Ain. Memang nasi tomato dan ayam masak merah dia sedap dan mantap. Semoga ada kebaikan kepadanya atas perkongsian ini dan dapat dimasak oleh ramai orang lain juga.

Moh kite masak!


Bahan-bahan nasi tomato


500g beras (6 orang makan)

1 liter air (sukatan air mungkin berbeza mengikut jenis beras)

3 ulas bawang putih

3 biji bawang merah

1 sudu kismis (takde pun takpe)

150g Tomato Puri

2 biji tomato

1 sudu minyak sapi (minyak masak pun boleh)

3 kuntum bunga lawang

1 kulit kayu manis

5 biji buah pelaga

5 kuntum bunga cengkih

1 inci halia

1 sudu teh garam


Cara-cara masak nasi tomato


Hiris  bawang merah dan bawang putih nipis-nipis.


Hiris halia nipis-nipis


Kisar tomato.


Panaskan minyak sapi di dalam periuk nasi.


Tumis bawang merah dan bawang putih bersama rempah empat beradik sehingga bawang sedikit layu.


Masukkan air dan tutup periuk sehingga air mendidih.


Masukkan air dan biar sehingga mendidih dan masukkan tomato puri serta kisaran 2 biji tomato.


Masukkan beras yang telah dibasuh dan daun pandan. Masukkan juga halia dan garam.


Masukkan kismis  ketika nasi hampir kering. 


Nasi tomato siap!


Nota: boleh juga masukkan kacang peas jika mahu.


Bahan-bahan ayam masak merah


1/2 ekor ayam (sebaiknya potong kecil)

Serbuk kunyit

10 biji bawang besar (saiz sederhana besar)

10 biji cili kering

2 inci halia

3 batang serai

70g tomato puri

3 kuntum bunga lawang

1 kulit kayu manis

3 sudu gula

1 cawan air

Garam secukup rasa

Minyak masak untuk menggoreng


Cara-cara masak Ayam masak merah


Gaul ayam dengan serbuk kunyit dan garam.


Goreng ayam sehingga hampir garing.


Hiris serai nipis-nipis. (ambik bahagian yang ada warna ungu sahaja).


Potong pendek dan rebus cili kering sehingga lembut.


Kisar bawang besar, halia, serai dan cili kering.


Guna semula sebahagian minyak gorengan ayam dan panaskan.


Tumis semua hasil kisaran. Masukkan sedikit tomato puri.


Masukkan ayam dan kacau rata.


Bila  mendidih masukkan  bunga lawang dan kulit kayu manis. Masukkan juga gula.


Masukkan garam secukup rasa. Kacau rata dan biar seketika sebelum mentutup api.


Ayam masak merah siap!


Nota: boleh juga bubuh kacang peas


Bahan-bahan Acar Timun Nenas


1 biji timun (cucumber)

1 biji nenas (pineapple)

1/2 biji lobak merah (carrot)

1 biji cili merah

1 biji bawang merah

2 sudu gula

1 sudu cuka makan

Sedikit garam


Cara-cara buat Acar Timun Nenas (Jelatah)


Belah 4 timun dan hiris nipis-nipis.


Belah 4 nenas dan hiris nipis-nipis.


Potong lobak merah seperti batang mancis.


Hiris bawang merah nipis-nipis.


Hiris cili merah nipis-nipis.


Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk termasuk gula, garam dan cuka.


Gaul rata.


Acar timun atau jelatah siap!


Nota: biar ia sebati untuk seketika sebelum nikmati.

Tuesday, May 31, 2022

Paprik ayam ala thai


 Resepi paprik ayam ala thai yang mudah dan sedap. Paprik ayam biasa dipesan di kedai kedai thai atau kedai tomyam seafood dan patinya orang selatan thai atau orang siam atau orang patani yang menjadi tukang masaknya.

Paprik adalah satu makanan yang bagus kerana dalam satu masakan ada lauk dan ada sayur. Pilihan sayuran terpulang pada masing-masing jika memasak sendiri. Boleh buat paprik ayam, paprik daging, paprik seafood dan paprik campur.


Bahan-bahan

1 kg ayam (bahagian tulang)

5 ulas bawang putih

1 biji bawang holland

5 biji cili api

7 helai daun limau purut

Sedikit bunga kobis

6 biji putik jagung 

1 biji lobak merah

4 batang kacang panjang

2 sudu giling

2 sudu sos cili

2 sudu sos tiram

2 sudu sos ikan

garam secukup rasa

1 cawan air

Sedikit minyak masak



Cara-cara

Potong ayam kecil-kecil dan bersihkan.

Penyekkan bawang putih dengan pisau atau dengan lesung batu.

Potong kobis bunga kecil-kecil.

Potong lobak merah bentuk batang mancis.

Hiris bawang holland nipis-nipis.

Potong kacang panjang kira-kira 1 inci.

Potong putik jagung kecil-kecil.

Lenyek cili api dengan pisau atau dengan lesung batu.

Cicncang halus daun limau purut.

Panaskan minyak masak dan tumis bawang putih sehingga sedikit garing.

Masukkan cil kisar atau cili giling dan tumis sehingga pecah minyak.

Masukkan sos cili, sos tiram dan sos ikan. Masak seketika sehingga sebati.

Masukkan daun limau purut dan kacau rata.

Masukkan ayam dan masak sehingga ayam masak.

Tuang 1 cawan air dan masak sehingga air sedikit.

Masukkan putik jagung, lobak merah, kacang panjang, kobis bunga dan bawang holland.

Masak sehingga sayur-sayuran lembut dan kuah pekat.

Tutup api.


Thursday, May 19, 2022

Kari Ayam Lemon Serai

 

 

Kari ayam atau orang Kedah panggil gulai ayam memang salah satu masakan kegemaran rakyat Malaysia. Tak kira la bangsa apa pun. Melayu ka, Cina ka, India ka, orang putih ka, kita kan rakyat Malaysia. Memang semua suka. Cuma ada pelbagai cara masakan dan boleh jadi rasanya juga berbeza-beza. 


Kali ini Moh Kite mengajak semua mencuba resepi kari ayam lemon serai ini. Rasanya seakan-akan masakan Nepal Kukkra sebab ia menggunakan daun ketumbar. Jika tidak suka rasa daun ketumbar, bolehlah diabaikan.


Semestinya masakan kari atau gulai kena makan dengan nasi. Nasi putih sedap, nasi beriani sedap, nasi dagang pun sedap. Terpulang.


Moh kite masak!


Bahan-bahan

1/2 ekor ayam

1/2 paket kari ayam

1/2 paket kari ikan

1/2 paket serbuk cili

3 ulas bawang putih

3 biji bawang merah

3 batang serai

1 sudu kerisik

1 cawan santan

5 hirisan lemon

Sedikit daun ketumbar

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak


Cara-cara


Potong ayam sedikit kecil.


Bancuh rempah kari dan serbuk cili dengan sedikit air.


Hiris bawang merah dan bawang putih.


Ketuk serai.


Potong/ hiris daun ketumbar kecil-kecil.


Panaskan sedikit minyak masak dan tumis bawang putih serta bawang merah sehingga hampir garing.


Masukkan bancuhan rempah dan tumis sehingga sedikit pekat.


Masukkan kerisik dan serai. Kacau rata.


Perahkan lemon dan masukkan ayam.


Masak seketika dan masukkan santan.


Masak sehingga pekat dan masukkan garam secukup rasa.


Tutup api. Gaulkan daun ketumbar yang telah dipotong kecil.

Sunday, May 1, 2022

Dendeng daging raya

 


Dendeng daging atau dendeng sapi adalah salah satu makan 'versatile' kerana ia boleh dimakan dengan pelbagai makanan lain dan tidak kira masa. Ia boleh diratah begitu sahaja, dimakan dengan ketupat dan lemang, dimakan dengan roti dan sebagainya. Ia juga adalah salah satu masakan yang agak tahan lama.

Bahan-bahan untuk memasaknya tidak banyak tetapi boleh menghasilkan rasa yang unik dan sedap.

Moh kite masak!

Bahan-bahan

2kg daging

15 biji (750g) bawang besar 

10 inci (250g) halia

1/2 cawan kicap lemak manis

100g cili kisar

1 mangkuk kecil (segenggam) bawang goreng

Garam secukup rasa

Minyak masak

Air



Cara-cara

Potong daging bentuk dadu.

Rebus dengan air selama 2 jam.

Tumbuk  sedikit sehingga leper.

Panaskan minyak masak dan goreng daging rebus yang telah ditumbuk. Tidak perlu goreng sehingga garing. Angkat dan toskan.

Kupas bawang dan halia. Kisar dengan 2 cawan air.

Panaskan semula minyak goreng daging dan tumis bawang kisar. Tumis sehingga sedikit perang. 

Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak. Jika sudah lama tetapi masih menggelegak dengan kuat, itu tandanya kurang minyak masak. Tambah minyak masak sedikit demi sedikit mengikut keperluan.

Masukkan kicap lemak manis dan bawang goreng. Kacau rata.

Masukkan sedikit air atau kira-kira 1/2 cawan.

Masukkan daging dan kacau rata.

Masukkan 2 cawan air dan kacau rata.

Masukkan garam secukup rasa dan kacau rata sehingga menggelegak dan sebati kesemuanya.

Bolehlah dihidangkan.

Friday, April 8, 2022

Sambal bilis petai Kedah Style

 



Petai atau nama saintifiknya Parkia Speciosa adalah salah satu buah-buahan atau sayur-sayuran yang unik. Ianya berbau kuat sehinggakan boleh mengubag bau urine. Ramai yang tidak suka akan baunya tetapi ramai juga yang menggemarinya sehinggakan ada yang sanggup makan sebagai snek. Biasanya ia digemari oleh masyarakat melayu tetapi ada juga bangsa cina yang gemarkannya sehinggakan mengunyahnya di pejabat. Habis satu office bau petai. Dah la berbau kuat, kunyah dalam pejabat yang berhawa dingin pulak tu. Memang sepatutnya petai mentah menjadi makanan larangan dan kena ban di tempat berhawa dingin macam durian juga.

Di Indonesia ia disebut pete manakala dalam bahasa inggeris ia disebut sebagai bitter bean atau twisted cluster bean atau stink bean. Antara kebaikan petai adalah merendahkan paras kolestrol, mengawal kencing manis atau diebetes, tinggi potassium, kaya vitamin C, kaya kalsium, kaya zat besi dan memantu mengurangkan tekanan. Bagaimanapun ambillah atau makanlah secara sederhana. Pengambilan yang melampau mungkin akan memberi mudarat lain.

Petai atau pete amat enak dimasak dengan pelabgai masakan. Antara yang popular adalah sambal petai. Sambal petai pula boleh dimasak dengan ikan bilis, sotong, udang, kerang , ikan dan sebagainya. Manakala masakan-masakan lain adalah seperti tempoyak daun kayu dan masak lemak cili api. Selain itu ia boleh dinuat sebagai ulam. Cicah dengan sambal tempoyak memang terangkat!

Moh kite buat sambal bilis petai atau sambal bilis pete!

Bahan-bahan

1 genggam ikan bilis

1 biji bawang besar

5 ulas bawang putih

2 papan petai

1/4 sudu teh pes asam jawa

3 sudu makan gula

4 sudu cili kering kisar

garam secukup rasa

minyak masak




Cara-cara

Bersihkan ikan bilis dengan mengopeknya atau membuang tahinya. Basuh bersihkan dan toskan.

Panaskan minyak masak. Guna sekadar cukup untuk goreng ikan bilis. 

Goreng ikan bilis sehinga garing. Jika bau masih sedap, ikan bilis belum garing. Goreng sehingga berbau macam pahit atau hangit tetapi jangan biarkan ia hangit. Ketika ini ia benar-benar garing.

Angkat dan sejukkan.

Kisar bawang besar dan bawang putih.

Potong dan buang bahagian tepi petai. Kemudian potong petai di antara setiap mata petai. Boleh juga potong di atas mata petai jika hendak baunya naik. Cara masak ini menggunakan juga kulit petai. Jika tidak mahu kulit petai, bolehlah ambil isinya sahaja.

Panaskan semula minyak gorengan ikan bilis tadi.

Tumis bwang yang telah dikisar sehingga garing.

Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga pecah minyak.

Masukkan petai dan masak sehingga ia layu atau bertukar warna daripada hijau terang segar kepada hijau layu.

Masukkan garam, gula dan pes asam jawa. Kacau dan masak seketika biar ia sebati.

Tutup api dan sejukkan.

Pastikan sambal benar-benar sejuk sebelum memasukkan ikan bilis. Kacau rata. Ikan bilis akan kekal rangup untuk masa yang agak lama dengan cara ini.

Kacau rata dan boleh dihidangkan. Sedap dimakan dengan nasi panas. Kena pulak ada masakan kurma telur atau ayam. Memang terangkat! 

Saturday, March 26, 2022

Sandwich telur


 Sandwich adalah makanan yang biasanya dimakan sebagai sarapan atau minum petang. Kebiasaanya ia adalah makanan yang mudah dan ringkas. Simple sahaja tetapi ia bukanlah makanan ringan. Terdapat pelbagai jenis sandwich. Antara yang biasa dan mudah didapati adalah sandwich telur, sandwich sardin dan sandwich tuna. Setiap satu daripada yang dinyatakan pun terdapat kepelbagaian dalam cara membuatnya dan juga bahan-bahannya. 

Biasanya sandwich dibuat menggunakan kepingan roti dan dibubuh bahan-bahan lain diantara kepingan atas dan kepingan bawah. Popularnya sandwich sehingga terwujudnya kedai makanan segera seperti subway yang menjual sandwich. 

Sandwich telur adalah salah satu sandwich yang mudah. Ianya sesuai untuk kanak-kanak sehingga dewasa kerana biasanya ia tidak pedas. Cuma kalau untuk kanak-kanak, kebiasaannya tidak ada sayur diletakkan kerana ramai kanak-kanak tidak makan sayur. Eh! Orang dewasa pun ramai juga tak makan sayur!

Moh kite buat sandwich telur!


Bahan-bahan

10 keping roti

4 biji telur

5 sudu mayonis

marjerin

1 biji tomato

5 helai daun salad

serbuk lada hitam berperisa

serbuk lada berperisa




Cara-cara

Rebus telur sehingga masak. Kupas dan letak ke dalam mangkuk. Kulit telur lebih mudah dikupas jika ia sedikit basah atau pun tangan pengupas basah.

Hiris tomato secara bulat.

Basuh daun salad bersih-bersih. Ada kes kematian akibat daun salad tidak dibasuh sempurna kerana ada racun serangga pada daun.

Hancurkan telur yang telah dikupas. Boleh gunakan penekan daging burger ataupun garpu untuk hancurkan telur.

Masukkan 5 sudu mayonis dan kacau rata.

Masukkan serbuk lada hitam dan lada berperisa dan kacau rata.

Sapukan marjerin pada satu permukaan setiap keping roti.

Sapukan bancuhan telur tadi. 

Letakkan satu hirisan tomato.

Letakkan daun salad.

Letak satu lagi keping roti yang telah disapu merjerin dengan bahagian yang disapu menghadap ke bawah.

Boleh potong segitiga dengan menggunakan pisau pemotong roti jika mahu.

Siap!

Nota:

    Boleh juga letak kepingan cheese untuk lebih sedap.

Resepi Sambal paru-paru

 


Paru-paru adalah salah satu organ dalaman yang sangat penting. Ia adalah organ untuk penyerapan oksigen. Tubuh manusia serta haiwan sangat memerlukan oksigen dan paru-paru yang memainkan peranan terbaik akan membekalkan oksigen yang optimum.

Bagaimanapun, ini bukanlah perbincangan mendalam tentang paru-paru. Kita nak masak paru-paru. Mungkin janggal pada sesetengah orang untuk membeli paru-paru. Yang biasa dibeli adalah daging dan hati lembu. Jadi mungkin akan sedikit janggal jika tidak biasa. 

Biasanya, paru-paru dimasak secara gorang garing atau bersambal. Jika bersambal mungkin menggunakan cili kering atau cili hidup sama ada cil api atau cili besar. Sambal paru-paru atau lebih dikenali sebagai sambal paru adalah antara lauk nasi lemak terbaik. Bagaimanapun, ia tetap sedap juga dengan nasi biasa atau mi goreng, bihun goreng, kuey teow goreng dan sebagainya.

Moh kite masak sambal paru-paru!


Bahan-bahan

1/2kg paru-paru lembu

3 sudu cili kering kisar (lebihkan pun tidak mengapa)

5 ulas bawang putih

10 biji bawang merah

1 biji bawang besar

1 keping asam keping (asam gelugor)

1 sudu gula

garam secukup rasa

sedikit minyak masak

air



Cara-cara

Rebus paru-paru selama 30-60 minit ataupun sehingga lembut.

Kisar bawang merah dan bawang putih.

Hiris bulat bawang besar.

Paru yang telah direbus, dihiris nipis-nipis.

Panaskan minyak dan goreng paru sehingga garing. Tahap kegaringan terserah kepada masing-masing.

Gunakan semula sedikit minyak gorengan paru-paru tadi dan tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar.

Setelah naik bau dan sedikit garing, masukkan cili kisar. Tumis sehingga masak atau pecah minyak.

Masukkan asam keping.

Masukkan bawang besar, garam dan gula. kacau sehingga sebati dan bawang agak layu.

Masukkan paru yang telah digoreng tadi. Kacau dan masak sehingga sebati.

Tutup api dan hidangkan.

Moh kite melantak!


Nota:

        Cili kering kisar boleh diganti dengan cili api atau cili hidup.


Friday, March 25, 2022

Pajeri nenas

 



Nenas atau nanas adalah salah satu buah-buahan tropika. Ia sesuai ditanam di tanah gambut. Terdapat pelbagai jenis nenas di Malaysia. Antaranya adalah MD2, Maspine, Josapine, N36. Moris dan Yankee. Nenas sedap dibuat jus dan banyak juga kaedah rawatan alternatif menggunakan nenas seperti untuk rawatan batu karang, gout dan sebagainya. Baru-baru ini tular yang empulur nenas boleh direbus untuk rawatan covid-19. Wallahua'lam. Boleh je ikhtiar. Kuasa menyembuhkan tetap milik Dia.

Nenas juga sedap jika dimasak. Antara resepi nenas yang popular adalah jelatah atau acar, gulai ikan masin nenas, nasi nenas dan pajeri nenas. Kebanyakannya adalah masakan kenduri kan? 

Moh kite masak pajeri nenas!


Bahan-bahan

1 biji nenas

2 sudu serbuk kari

1 sudu cili kering kisar

3 ulas bawang putih

3 biji bawang merah

3 sudu gula

1 sudu kerisik

5 kuntum bunga lawang

1 kulit kayu manis

1 cawan santan pekat

1 cawan air

garam secukup rasa

sedikit minyak masak




Cara-cara


Kupas kulit nenas dan potong nenas secara bulat atau separa bulat jika terlalu besar. Potong cara lain tak jadilah pajeri.

Hiris bawang putih dan bawang merah.

Bancuh serbuk kari dengan sedikit air.

Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit layu.

Masukkan bunga lawang dan kulit kayu manis.

Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili masak. Taklah sakit perut nanti.

Masukkan bancuhan serbuk kari. Tumis sehingga masak atau likat.

Masukkan santan dan kerisik. Kacau rata.

Masukkan nenas dan gula. Jika rasa nak manis lagi boleh tambah gula. Pajeri memang kena ada rasa manis-manis tetapi kawallah tahap penggunaan gula. 

Masak sehingga nenas lembut. Jika sudah agak kering tetapi nenas masih belum lembut, tambah air sedikit demi sedikit.

Bila nenas sudah lembut, masak sehingga kuah pekat dan likat.

Masukkan garam secukup rasa. Masak sehingga sebati.

Tutup api dan hidangkan.


Nota:

        Disebabkan terdapat pelbagai jenis nenas, sebaiknya tanya dahulu ketika membeli jenis nenas yang sesuai untuk dimasak, dibuat air dan sebagainya.