keikhlasan adalah rencah utama

September 02, 2021

Bubur Asyura Kedah Utara

Bubur Asyura biasanya dimasak pada bulan Muharram. Ia adalah salah satu masakan sempena menyambut Hari Asyura. Biasanya ia dimasak beramai-ramai dan diagihkan kepada keluarga yang memasak serta ahli kariah. Ianya tidaklah wajib dan bukanlah sunnah tetapi sunnah bersedekah dan sunnah berjiran ada di situ.


Bagaimanapun, ia sudah menjadi suatu kebiasaaan. Bila masuk Muharram sahaja orang cari bubur asyura. Kalau tak dapat secara percuma, beli pun tidak mengapa. Bubur asyura pula terdapat pelbagai versi. Ada versi pantai timur, ada versi utara dan ada versi selatan. Ini di Malaysialah. Kalau di tempat lain, mungkin ada versi masing-masing atau mungkin tiada langsung bubur asyura ini. Versi utara biasanya manis dan penuh dengan kacang, jagung dan lain-lain. Versi pantai timur pula berempah dan ada daging. Manakala versi selatan adalah seperti bubur lambuk.


Moh kite masak bubur asyura utara!


Bahan-bahan Bubur Asyura


1 tin jagung kernel

1 tin jagung creamy manis

1 paket kacang merah manis

400g tepung beras

500g santan pekat

4 keping gula melaka/ kabung (350g)

1 cawan kacang hijau

1 cawan kacang merah (sederhana besar)

1 cawan kacang kuda

400g keledek

3 biji pisang

1 sudu teh garam

1.5 liter Air

3 helai daun pandan






Cara-cara


Basuh dan rendam kacang kuda, kacang merah dan kacang hijau selama sekurang-kurangnya 5-6 jam.


Rebus semua kacang sehingga lembut dan mudah dikunyah. Air sekadar melebihi sedikit paras kacang. Air rebusan kacang akan digunakan nanti.


Kupas ubi keledek dan basuh bersih. Potong dadu kecil-kecil kesemuanya dan rebus dengan air sekadar melebihi sedikit paras keledek. Air rebusan akan digunakan nanti.


Bancuh tepung beras dengan air dan santan sehingga sebati (tepung larut).

Tuang ke dalam kuali.


Ikat atau pintal daun pandan dan masukkan ke dalam kuali.


Pasang api sederhana dan mula memasak. 


Patahkan gula melaka kecil-kecil dan masukkan ke dalam kuali.


Masukkan 1 sudu teh garam.


Masak sehingga gula melaka larut.


Masukkan kacang rebus bersama air rebusan. Masukkan juga keledek rebus bersama air rebusannya.


Kacau selalu dan pastikan tidak melekat di dasar kuali.


Masukkan jagung creamy dan jagung kernel serta kacang merah manis. Kacang merah ini adalah kacang yang sama digunakan untuk cendol, abc dan sebagainya.


Masak dan kacau selalu sehingga likat. Jika sudah likat, lihat daun pandan telah berubah warna hijaunya kepada hijau yang layu. Bolehlah tutup api dan hidangkan.


Bolehlah dimakan panas-panas atau sejukkan dan simpan di dalam peti sejuk jika suka yang sejuk dan beku. Beku bukan beku macam ais tetapi beku ala-ala puding.


Nota:


  1. sukatan ini boleh menghasilkan 4kg-5kg bubur asyura. Jadi bolehlah dibedak-bedak ke rumah jiran-jiran atau kawan-kawan. Rezeki dikongsi bersama.
  2. Manis bubur asyura ini memang secukupnya sahaja. Jika mahu lebih manis, seeloknya ditambah gula pasir.
  3. Terima kasih Cikgu Salina untuk resepi ini walaupun ada part-part derhaka resepi sedikit.
SHARE:

No comments

Post a Comment

Blogger Template Created by pipdig