Nenas atau nanas adalah salah satu buah-buahan tropika. Ia sesuai ditanam di tanah gambut. Terdapat pelbagai jenis nenas di Malaysia. Antaranya adalah MD2, Maspine, Josapine, N36. Moris dan Yankee. Nenas sedap dibuat jus dan banyak juga kaedah rawatan alternatif menggunakan nenas seperti untuk rawatan batu karang, gout dan sebagainya. Baru-baru ini tular yang empulur nenas boleh direbus untuk rawatan covid-19. Wallahua'lam. Boleh je ikhtiar. Kuasa menyembuhkan tetap milik Dia.
Nenas juga sedap jika dimasak. Antara resepi nenas yang popular adalah jelatah atau acar, gulai ikan masin nenas, nasi nenas dan pajeri nenas. Kebanyakannya adalah masakan kenduri kan?
Moh kite masak pajeri nenas!
Bahan-bahan
1 biji nenas
2 sudu serbuk kari
1 sudu cili kering kisar
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 sudu gula
1 sudu kerisik
5 kuntum bunga lawang
1 kulit kayu manis
1 cawan santan pekat
1 cawan air
garam secukup rasa
sedikit minyak masak
Cara-cara
Kupas kulit nenas dan potong nenas secara bulat atau separa bulat jika terlalu besar. Potong cara lain tak jadilah pajeri.
Hiris bawang putih dan bawang merah.
Bancuh serbuk kari dengan sedikit air.
Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit layu.
Masukkan bunga lawang dan kulit kayu manis.
Masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga cili masak. Taklah sakit perut nanti.
Masukkan bancuhan serbuk kari. Tumis sehingga masak atau likat.
Masukkan santan dan kerisik. Kacau rata.
Masukkan nenas dan gula. Jika rasa nak manis lagi boleh tambah gula. Pajeri memang kena ada rasa manis-manis tetapi kawallah tahap penggunaan gula.
Masak sehingga nenas lembut. Jika sudah agak kering tetapi nenas masih belum lembut, tambah air sedikit demi sedikit.
Bila nenas sudah lembut, masak sehingga kuah pekat dan likat.
Masukkan garam secukup rasa. Masak sehingga sebati.
Tutup api dan hidangkan.
Nota:
Disebabkan terdapat pelbagai jenis nenas, sebaiknya tanya dahulu ketika membeli jenis nenas yang sesuai untuk dimasak, dibuat air dan sebagainya.
No comments
Post a Comment