keikhlasan adalah rencah utama

June 18, 2021

Hati lembu masak rempah

 


Makan hati berulam jantung. Itu adalah salah satu peribahasa Melayu yang menggambarkan kesedihan disebabkan sesuatu perkara. Makan hati ayam atau hati lembu secara nyata bukanlah seperti yang digambarkan oeribahasa tersebut. Malah makan hati lembu atau ayam ini adalah sesuatu yang menggembirakan. Kenyang perut senang hati!

Hati lembu  masak rempah ini adalah satu resepi yang amat mudah. Bahan-bahannya pun sedikit sahaja. Cuma masa memasaknya mungkin sedikit lama sebab kena tunggu air hati kering dan hati lembut. Bagaimanapun hasilnya memang amat memuaskan hati. Kena pula makan dengan nasi panas. Memang mengancam.

Serbuk kari boleh dicampurkan kari ayam dan kari ikan atau serbuk rempah kari berbeza jenama untuk mendapatkan kari yang lebih sedap. Ia seolah-olah melengkapkan rasa kari itu antara satu sama lain. Bak kata omputih "you complete me". 


Bahan-bahan

1kg hati lembu

1 inci halia

3 biji bawang merah

5 ulas bawang putih

1 biji bawang besar

2 sudu rempah kari

1 biji cili merah

1 biji cili hijau

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak




Cara-cara

Bersihkan hati lembu dan potong nipis-nipis.

Hiris halia nipis nipis.

Hiris bawang merah dan bawang putih.

Hiris cili merah nipis-nipis.

Panaskan minyak masak dan tumis bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga layu dan naik bau.

Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Tumis sehingga pecah minyak.

Masukkan hirisan halia dan tumis sehingga halia kembang.

Masukkan hati lembu. Hati lembu akan mengeluarkan airnya sendiri. Masak sehingga air kering dan kembali berminyak.

Masukkan bawang besar dan masak sehingga bawang sedikit layu.

Masukkan cili merah dan cili merah dan kacau rata.

Masukkan garam secukup rasa dan kacau sehingga sebati.

Tutup api dan hidangkan.



SHARE:

No comments

Post a Comment

Blogger Template Created by pipdig