keikhlasan adalah rencah utama

June 17, 2021

Pecal atau gado gado dengan kanji

 



Pecal atau juga dikenali sebagai gado-gado adalah makanan yang menggunakan pelbagai sayur-sayuran sebagai bahan utamanya. Dimakan bersama sambal kacang yang digaul bersama sememangnya satu kenikmatan. Ada juga yang menggunakan cekur dalam membuat sambal kacang untuk pecal atau gado-gado ini.

Ini adalah resepi mak saya dalam menyediakan pecal ini. Semestinya mak saya menyediakan pecal atau gado-gado ini bersama kanji. Wajib! Memang sedap dimakan sekali. Kanji ini sebenarnya adalah bubur nasi yang dimasak bersama santan serta bahan-bahan lain. Mungkin disebabkan berkanji, ia dinamakan kanji.

Bahan-bahan kanji

1.5 cawan beras (rice)
4 liter air (water)
1/2 sudu teh halba
1 kotak/ 1 cawan santan (coconut milk)
Sedikit udang geragau/ udang kering 
Garam secukup rasa

Bahan- bahan pecal/ gado-gado

3 sudu gula (sugar)
1 sudu pes asam jawa (tamarind)

1 sudu teh garam (salt)
1 biji timun (cucumber)


Bahan-bahan rebus

1 ikat pucuk ubi (tapioca shoots)
1 ikat pucuk paku (fern)
1 ikat kangkung
5 batang kacang panjang 
200g Taugeh (beansprout)

Bahan-bahan goreng

3 batang kek ikan (fish cake)
5 biji cili kering
3 biji cili kering gemuk
3 biji bawang merah (onion)
500g kacang tanah (groundnuts)




Cara-cara masak kanji

Basuh beras dan tanak dengan 4 liter air. 

Setelah mendidih, masukkan halba.

Masak sehingga beras kembang dan tuang santan.

Masukkan juga udang geragau dan garam secukup rasa.

Masak sehingga semua sebati dan tutup api.


Cara-cara masak pecal/ gado-gado

Goreng kek ikan yang telah dipotong pendek sehingga sedikit garing.

Potong pendek bahan-bahan rebus seperti kacang panjang, pucuk paku, pucuk ubi dan kangkung. Rebus semua bahan-bahan rebus sehingga lembut. Rebus secara berasingan.

Goreng kacang tanah dengan sedikit minyak masak sehingga garing. Angkat dan sejukkan. Setelah sejuk, ramas agar terasing kulitnya sebanyak mungkin. Tampi untuk asingkan kulit dan kacang. Kisar sehingga agak halus tetapi tidak terlalu halus.

Goreng cili kering dan cili kering gemuk bersama bawang merah yang telah di buang kulitnya. Goreng sehingga cili agak garing dan bawang kelihatan layu. 

Tumbuk cili kering dan bawang merah yang telah di goreng sehingga halus.

Gaul bersama kacang yang telah dikisar bersama pes asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Jika terlalu kering, tuang sedikit air panas dan gaul semula.

Bolehlah hidangkan dan gaul bersama kanji serta bahan-bahan rebusan serta kek ikan.




SHARE:

No comments

Post a Comment

Blogger Template Created by pipdig