keikhlasan adalah rencah utama

June 21, 2021

Jantung pisang masak lemak

 


Pokok pisang adalah salah satu pokok yang mempunyai banyak kegunaan. Umbutnya boleh dibuat kerabu, bahagian tengah batangnya boleh dibuta gulai, batangnya juga digunakan oleh mudim-mudim kampung untuk alas bersunat, daunnya boleh dibuat bungkusan nasi lemak, lepat, kuih koci dan sebagainya, buahnya jika muda boleh dibuat gulai dan kerepek, setelah masak boleh dimakan begitu saja atau dibuat lepat dan cekodok. Jantungnya pula boleh direbus sebagai ulaman, dibuat kerabu atau digulaikan. Boleh sahaja buat kari, pajeri atau masak lemak.

Masak lemak jantung pisang ni memang sedap. Sudah pasti jantung pisang ada rasa uniknya yang tersendiri yang membuat masakan menjadi hidangan yang menyelerakan. Kena pula dengan nasi panas, lauk lain tak ada pun tak apa. Masak lemak jantung pisang ni mudah sahaja. Cuma ia bergetah macam pisang dan batang pisang juga. Kalau baru ambil memang getahnya banyak. Moh kite masak jantung pisang masak lemak.

Bahan-bahan

2 biji jantung pisang
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
1 liter santan (4 cawan)
1 liter air (4 cawan)
Sedikit asam keping (tak perlu sekeping pun)
Sedikit Cili api (jika mahu)

Cara-cara

Potong jantung pisang dan buang bahagian kelopak berwarna ungu. Yang berwarna ungu agak liat dan keras.

Belah empat dan buang empulurnya. Kemudian, hiris atau potong nipis-nipis.

Masukkan ke dalam periuk bersama, serbuk kunyit, santan, air, garam dan asm keping. Juga masukkan cili api yang telah ditumbuk jika mahu.

Buka api dan masak. Kacau selalu agar santan tidak pecah lemak.

Masak sehingga jantung pisang lembut sebelum menutup api.

Hidangkanlah dan nikmatilah bersama si jantung hati,


SHARE:

No comments

Post a Comment

Blogger Template Created by pipdig