Sebut asam pedas sahaja pastinya ramai orang akan teringat atau terbayang asam pedas Melaka. Saya secara jujur asalnya tidak mengetahui yang asam pedas Melaka sangat popular. Setelah diteliti, saya dapati asam pedas Melaka kuahnya agak pekat berbanding dengan asam pedas yang saya pelajari daripada emak saya. Macam macam jenis asam pedas ada sekarang. Ada asam pedas daging, ada juga asam pedas ayam. Cuma yang pasti, asam pedas ikan yang paling digerami. Asam pedas ikan pula boleh dimasak menggunakan pelbagai jenis ikan. Ikan patin, ikan tenggiri, ikan parang, ikan terubuk, ikan lawang, ikan mabong dan ikan pari adalah anatara masakan asam pedas ikan yang popular. Resepi masakan asam pedas ini pastinya padu.
Moh kite masak!
Bahan bahan
1 ekor ikan patin (beli ikan patin sungai kerana ianya tidak berbau tanah)
1 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
3 biji bendi
15 helai daun kesom
21 tangkai cili kering
5 keping asam keping
2 batang serai
garam secukup rasa
minyak masak
1.5 cawan air
Cara cara
Potong dan bersihkan ikan patin.
Potong cili kering pendek-pendek. Basuh dan rebus sehingga mendidih. Basuh dan toskan.
Buang kulit bawang besar, basuh dan kisar bersama cili kering.
Hiris nipis-nipis bawang putih dan bawang merah.
Potong bendi pendek-pendek (kira kira 1.5 inci)
Ambil kira kira 4 inci serai dari pangkalnya dan ketuk.
Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga naik bau dan sedikit layu.
Masukkan cili kering yang telah dikisar bersama bawang besar tadi. Tumis sehingga naik minyak (pekat dan sedikit kehitaman).
Masukkan serai ketuk, asam keping dan garam. Gaul rata.
Masukkan air dan daun kesom. Kacau sehingga mendidih.
Masukkan ikan patin dan bendi. Masak sehingga ikan masak dan kuah bertambah pekat.
Tutup api dan hidangkan.
Nota:
1) Daun kesom memang penting bagi asam pedas. Cuma, kalau terlalu banyak kemungkinan akan menyebabkan rasa pahit,
2) Bendi digunakan untuk memekatkan kuah. Boleh sahaja ditambah bilangannya.
3) Resipi ini boleh juga dimasak menggunakan ikan-ikan lain.
4) Ada resepi yang menggunakan sedikit kunyit/ serbuk kunyit dalam masakan asam pedas. Boleh sahaja ditambah.
Untuk lebih resepi dan informasi, layarilah
atau tontoni youtube
Keikhlasan adalah rencah utama
No comments
Post a Comment