keikhlasan adalah rencah utama

May 23, 2018

Resepi kuih Cucur jawa



Ini adalah resepi (resep) kuih (kue) kepakaran ibu mertua saya. Masih belum ada lagi anak-anak mahupun cucu-cucu yang mampu menghasilkan cucur jawa yang setanding. Resepinya nampak mudah tetapi untuk menghasilkan rupa sebegitu agak susah. Apa pun rupa hasil terakhir ia masih boleh dimakan. Cuma, untuk kepuasan pastinya hendak mendapatkan rupa yang terbaik. Saya telah mencuba beberapa kali dengan berbagai percubaan dan itulah hasil terbaik saya setakat ini.

Kuih juga dikenali sebagai penganan. Ia sesuai dibuat kudap atau kudapan.

Moh kite buat!

Untuk panduan memasak resepi ini, klik video di bawah.


Bahan bahan

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras (elakkan yang campuran)
2/3 cawan gula pasir
1 sudu gula merah
1 cawan air
1 cawan minyak masak

Cara cara

Masukkan tepung gandum, tepung beras, gula dan gula merah ke dalam satu bekas. gaul rata dengan tangan.

Masukkan 3/4 cawan air dan gaul rata kesemuanya.

Biarkan seketika kira kira 1/2 jam untuk gula mencair (melengas)

Masukkan baki 1/4 air dan gaul rata.

Biarkan adunan sebati selama 3-4 jam.

Panaskan minyak dalam kuali. Bila sudah panas perlahankan api.

Guna senduk untuk menceduk dan menuang adunan ke dalam kuali.Tuang pada satu tempat sahaja iaitu di tengah-tengah kuali. Ia akan merebak sendiri.

Selepas beberapa ketika setelah adunan mula timbul, alihkan/ terbalikkan. Jika kedua-dua sudah berwarna agak perang, bolehlah diangkat.

Pastikan tuangan tidak terlalu banyak atau terlalu sedikit. Jika terlalu banyak, ia akan menjadi "tembam" dan kelihatan tidak menarik tetapi masih boleh dimakan.

Kalau "tembam", kurangkan kuantiti tuangan seterusnya sehinggalah mendapat hasil yang diinginkan dan gunakanlah ia sebagai penanda aras untuk semua tuangan.

Nota:

1) Api kecil membantu membentuk lebih cantik.

Untuk lebih resepi dan informasi, layarilah
atau tontoni youtube
Keikhlasan adalah rencah utama

SHARE:

No comments

Post a Comment

Blogger Template Created by pipdig