keikhlasan adalah rencah utama

May 20, 2018

Resepi Laksa Johor


Laksa Johor menggunakan spaghetti sebagai mi. Kuahnya pekat ditambah dengan sayur sayuran menjadikan ianya makanan yang pelbagai dalam satu hidangan. Ditambah pula dengan sambal belacan, pastinya menambahkan kesedapan kuahnya dan laksa Johor secara keseluruhannya,

Moh kite buat!

Bahan bahan kuah

1 kg ikan sardin
21 tangkai cili kering
7 keping asam keping
3 batang serai
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 peket serbuk kari ikan
1/2 kg santan pekat
Garam secukup rasa
Air untuk merebus ikan

Bahan bahan untuk mi

1 bungkus spaghetti
2 sudu minyak zaitun
air


Bahan bahan rampai

15 helai daun kesom/ daun selasih
1 kuntum bunga kantan
1 biji bawang besar
1 biji timun
2 batang kacang panjang

Bahan bahan sambal belacan

Sedikit belacan
7 biji cili api (cabe rawit)
1/2 sudu teh pes asam jawa
sedikit garam


Cara cara menyediakan kuah

Ikan sardin dibersihkan dan direbus bersama asam keping sehingga isi ikan tertanggal dari tulang.

Asingkan isi ikan dan air rebusan dengan menggunakan penapis dan sejukkan kedua-duanya.

Potong cili kering pendek-pendek, buang bijinya dan basuh. Rebus sehingga mendidih. Toskan dan masukkan ke dalam pengisar.

Buang kulit halia, lengkuas dan bawang besar. Potong kecil-kecil untuk memudahkan kerja mengisar.Masukkan ke dalam pengisar.

Ambil kira kira 3-4 inci serai dati akarnya/ pangkalanya dan buang daunnya. Potong pendek pendek dan basuh. Masukkan ke dalam pengisar.

Masukkan santan dan serbuk kari ikan ke dalam pengisar.

Kisar semua bahan hingga halus. Jika terlalu padat, tambah sedikit air. Bubuh ke dalam periuk besar.

Pisahkan isi ikan dari tulang. Ramas agar dapat mengasingkan tulang-tulang kecil daripada isi ikan. Kisar isi ikan yang telah diasingkan tulang dengan air rebusan berserta asam keping yang direbus bersama-sama tadi. Kisar sehingga halus dan masukkan ke dalam periuk.

Kisar tulang tulang ikan bersama air rebusan sehingga halus. Gunakan penapis ketika menuang ke dalam periuk.

Ulang jika baki tulang atas penapis masih likat. 

Jika ada baki air rebusan ikan, masukkan juga ke dalam periuk.

Letakkan garam secukup rasa dan nyalakan api. Kacau sehingga mendidih dan kuah menjadi pekat.

Rasa masakan jika perlu. Kalau kurang masin, tambah garam.

Tutup api.


Cara cara menyediakan spaghetti

Celur spaghetti bersama air dan 2 sudu minyak zaitun sehingga lembut

Tuutp api dan toskan menggunakan penapis.


Cara cara menyediakan rampai

Hiris bawang besar, daun kesom dan halus-halus/ kecil-kecil.

Potong kacang panjang pendek-pendek.

Buang kulit timun dan potong secara nipis secara membulat untuk kelihatan seperti bawang. Boleh juga dpotong halus-halus dan kecil-kecil.


Cara cara menyediakan sambal belacan

Bersihkan cili api, buangkan tangkainya dan masukkan ke dalam lesung batu.

Masukkan garam dan tumbuk/ gesek sehingga agak halus dan biji semuanya tergesek.

Masukkan belacan dan tumbuk/ gesek lagi.

Masukkan asam jawa dan tumbuk/ gesek rata.


Cara cara menyediakan hidangan

Masukkan spaghetti ke dalam pinggan/ mangkuk.

Tuangkan kuah ke dalam pinggan/ mangkuk.

Masukkan rampaian dan sambal belacan.

Siap dan nikmatilah.

Nota:

1) Ikan sardin kecil lebih sedap dan lebih manis.

2) Minimakan penggunaan air untuk terus mendapat kuah yang pekat.

3) Ini mungkin cara masakan paling mudah dengan bahan paling mudah.

Untuk lebih resepi dan informasi, layarilah
atau tontoni youtube
Keikhlasan adalah rencah utama

SHARE:

No comments

Post a Comment

Blogger Template Created by pipdig